33 Murid Di Pasir Gudang Alami Loya, Muntah

JOHOR BAHRU – Seramai 33 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Pasir Putih, di Pasir Gudang mengalami loya dan muntah-muntah selepas mengadu terhidu bau busuk di sekolah berkenaan pagi tadi.

Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan (Pengurusan Sekolah) Johor, Ab Rahim Lamin berkata pada awalnya seramai 25 murid dilaporkan mengalami simptom berkenaan pada kira-kira 7.30 pagi sebelum bertambah kepada 33 murid pada 9 pagi tadi.

“Semua murid melibatkan 5 lelaki dan 28 perempuan. Seramai 17 daripada mereka merupakan murid tahun 4, 7 murid tahun 5 dan 9 murid tahun 6,” katanya yang dihubungi hari ini.

Ab Rahim berkata semua mereka sudah dihantar ke Klinik Kesihatan Pasir Gudang untuk rawatan dan pihak sekolah juga sudah menghubungi bomba untuk tindakan bersesuaian.

Beliau berkata daripada keseluruhan 33 murid juga, 17 daripada mereka iaitu 3 murid lelaki dan 14 perempuan merupakan murid terkesan berulang iaitu pernah mengalami simptom berkenaan sebelum ini.

Katanya sesi persekolahan, bagaimanapun, diteruskan dengan memindahkan kesemua murid yang berada di tingkat 3 dan 4 ke bangunan-bangunan di tingkat bawah.

Beliau berkata SK Taman Pasir Putih mempunyai keseluruhan 1,119 murid dengan dua sesi persekolahan.

Loading...