32 Kes Berkaitan Skandal 1MDB Masih Dalam Perbicaraan

KUALA LUMPUR – Jabatan Peguam Negara komited untuk mendakwa mana-mana orang yang melakukan apa-apa kesalahan jenayah didalam skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB) tanpa mengambil kira bangsa, kedudukan, keturunan dan fahaman politik.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Takiyuddin Hassan berkata setakat ini, sebanyak 34 kes yang berhubungan dengan kes 1MDB dan kes SRC International telah didakwa di Mahkamah.

Daripada jumlah berkenaan, 32 kes masih dalam perbicaraan di Mahkamah.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis pada sidang Dewan Rakyat hari ini bagi menjawab pertanyaan lisan Lim Kit Siang (DAP-Iskandar Puteri) yang ingin tahu sama ada kerajaan masih komited membawa mereka yang bertanggungjawab menyebabkan negara kehilangan berbilion ringgit akibat skandal 1MDB ke muka keadilan.

“Apa-apa wang dan aset berhubung dengan kes ini yang telah dan akan dirampas dan dikembalikan kepada Kerajaan akan dikreditkan ke dalam Akaun Amanah Pemulihan Aset 1MDB,” kata Takiyuddin. – BERNAMA 

Loading...