31 Kes Baharu Covid-19 Hari Ini

KUALA LUMPUR – Jangkitan baharu Covid-19 dalam negara merekodkan 31 kes, hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes keseluruhan penularan wabak itu sebanyak 9,946 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada 31 kes baharu itu, tiga kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara membabitkan dua warga Malaysia dan seorang warga Indonesia yang memasuki Malaysia pada 31 Ogos lalu. 

“Daripada 28 kes penularan dalam negara, 19 kes membabitkan warga Malaysia dan sembilan kes dalam kalangan bukan warganegara.

“Penularan dalam negara membabitkan 23 kes di Sabah iaitu 17 daripada Kluster Benteng LD, masing-masing satu di kes saringan warga emas di Klinik Kesihatan Merotai, saringan Severe Acute Respiratory Infection (SARI) di Hospital Lahad Datu, pra pembedahan di Hospital Queen Kudat, rujukan ke Hospital Tawau, kontak rapat bagi kes ke-9454 dan tahanan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kudat.

“Selain itu, empat kes daripada Kluster Bunga di Negeri Sembilan dan satu kes Kluster Sungai di Kedah,” katanya menerusi kenyataan media berkaitan Covid-19, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, sehubungan itu, kes aktif dan kebolehjangkitan sebanyak 615 kes dan mereka sudah diasingkan serta dirawat di hospital.

Beliau berkata, tujuh pesakit sudah pulih dan dibenarkan keluar wad, hari ini.

“Sehingga kini, 11 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan lima daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

“Tiada pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan hari ini, justeru jumlah kumulatif kes kematian dalam negara kekal sebanyak 128 kes atau 1.29 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” katanya. – myMetro Online

Loading...