300,000 Penerima BSH Beri Nombor Akaun Tak Tepat

KUALA LUMPUR – Sehingga hari ini, seramai 3 juta penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) 2019 telah menerima agihan pembayaran fasa kedua.

Bagaimanapun, agihan bayaran itu tidak dapat dikreditkan ke dalam akaun 300,000 penerima BSH 2019 yang diluluskan kerana nombor akaun bank yang didaftarkan tidak tepat.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, bagi BSH 2019, pembayaran bagi penerima berumur 59 tahun ke bawah adalah melalui akaun bank isteri.

Perkara ini telah diumumkan kepada setiap penerima BSH melalui surat makluman dan turut dipaparkan di dalam portal BSH https://bsh.hasil.gov.my.

Namun demikian, sebilangan penerima BSH 2019 telah mendaftarkan nombor akaun bank suami dan ini mengagalkan pengkreditan akaun kerana nombor akaun tersebut bukan di bawah nama isteri.

Bagi memastikan penerima yang gagal dikreditkan menerima pembayaran berkenaan, Bank Simpanan Nasional (BSN) akan mewujudkan akaun bank baharu secara automatik untuk penerima yang berkenaan.

Maklumat akaun bank baharu boleh diketahui melalui surat makluman yang akan dikeluarkan dan dengan melayari portal BSH dan pembayaran bagi golongan tersebut akan dikreditkan terus ke akaun berkenaan mulai 14 Jun 2019.

Di samping itu, terdapat juga 300,000 lagi penerima BSH 2019 dari kawasan pedalaman dengan akaun bank yang akan menerima pembayaran mulai 14 Jun 2019.

Bagi penerima BSH di kawasan pedalaman yang tiada akaun pula, bayaran akan dibuat mulai 1 Julai 2019 secara tunai.

Fasa kedua BSH 2019 memperuntukkan sebanyak RM1.42 bilion dan memanfaatkan hampir 3.6 juta penerima. – MalaysiaGazette

Loading...