3,000 Sukarelawan Terlibat Kajian Klinikal Fasa 3 Vaksin COVID-19

KUALA LUMPUR – Kajian Klinikal Fasa 3 vaksin COVID-19 akan bermula pada 21 Januari ini di sembilan hospital Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di bawah kelolaan Pusat Kajian Klinikal (CRC) masing-masing, kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ketika mengumumkan perkara itu, beliau berkata kajian klinikal yang pertama dilakukan di Malaysia itu dijangka melibatkan seramai 3,000 sukarelawan.

“Malaysia bakal menjadi negara pertama di luar negara China untuk kajian calon ‘inactivated COVID-19 vaccine’ buatan Institute of Medical Biology Chinese Academy of Medical Sciences, China (IMBCAMS) ini.

“Kesemua keperluan regulatori termasuk kelulusan etika daripada Jawatankuasa Penyelidikan dan Etika Perubatan (MREC) dan akhir sekali, Lesen Import Kajian Klinikal (CTIL) dari NPRA (Bahagian Regulatori Farmasi Negara) telah diperolehi pada 8 Januari 2021,” kata Muhyiddin dalam perutusan khas yang disiarkan secara langsung di stesen-stesen televisyen tempatan hari ini.

Muhyiddin berkata, Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) KKM juga telah meluluskan pendaftaran vaksin COVID-19 yang dihasilkan syarikat farmaseutikal, Pfizer dengan Malaysia dijangka akan menerima bekalan vaksin Pfizer untuk fasa pertama pada hujung Februari ini.

Katanya sebagai persediaan awal bagi memastikan pengagihan vaksin COVID-19 kepada rakyat negara ini berjalan lancar apabila bekalan diperolehi, KKM telah membangunkan Pelan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

“Bagi mencapai imuniti kelompok, sebanyak 60 hingga 70 peratus atau 20 hingga 23 juta populasi Malaysia perlu diberikan vaksin COVID-19.

“Buat masa ini, kerajaan telah pun menandatangani perjanjian awal dengan fasiliti Covax, syarikat Pfizer dan AstraZeneca bagi perolehan vaksin COVID-19 untuk mendapatkan jaminan bekalan vaksin sebanyak 40 peratus liputan populasi,” katanya.

Perdana Menteri berkata kerajaan juga sedang dalam proses rundingan akhir dengan Sinovac, CanSino dan Gamaleya bagi mendapatkan jaminan bekalan vaksin bertambah melebihi 80 peratus jumlah populasi negara atau 26.5 juta.

Katanya, kerajaan akan pastikan hanya vaksin yang memenuhi ciri-ciri keselamatan, berkualiti dan berkesan akan didaftarkan dan digunakan di Malaysia.

Katanya proses penilaian dibuat Jawatankuasa NPRA untuk kelulusan dan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah bagi tujuan pendaftaran sebelum vaksin COVID-19 berkenaan boleh digunakan.

Muhyiddin pada akhir perutusannya turut mengingatkan seluruh rakyat untuk terus mematuhi semua SOP yang telah ditetapkan walaupun bekalan vaksin akan diterima  tidak lama lagi.

Beliau turut memberi jaminan kerajaan akan lakukan yang terbaik untuk memberi perlindungan kepada seluruh rakyat.

“Saya juga memohon kepada anda semua untuk lakukan yang terbaik untuk melindungi diri masing-masing, komuniti dan masyarakat. Hanya dengan bersatu melawan virus ini, kita boleh menang. Insya-Allah,” katanya. – BERNAMA