Adab Pemerintahan Tamadun Melayu-Islam Di UiTM

SHAH ALAM – Kira-kira 300 ahli akademik, pelajar dan orang awam menghadiri Persidangan ‘Adab Pemerintahan Pesan Tamadun Melayu-Islam’ di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini hari ini, yang bertujuan mengumpulkan tokoh ilmuwan dan cendekiawan di negara ini untuk berkongsi ilmu pengetahuan kepada masyarakat.

Naib Canselornya, Prof Emeritus Datuk Dr Hassan Said berkata persidangan anjuran UiTM melalui Kursi Institusi Raja-raja Melayu itu, mempunyai beberapa matlamat utama antaranya, bagi membincangkan persoalan adab, tadbir urus dan integriti dalam pemerintahan Melayu.

“Persoalan integriti, etika, moral dan akhlak awam serta kepimpinan masyarakat yang berpengaruh itu perlu menjadi perbincangan umum secara ilmiah,” katanya kepada pemberita selepas perasmian persidangan tersebut oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad.

Turut hadir, penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu, Prof Emeritus Datuk Dr Zainal Kling.

Hassan berkata, persoalan seperti apakah sifat dan ciri-ciri pegawai awam serta bentuk peribadi kepimpinan yang wajar ditunjukkan, harus menjadi bahan penelitian mendalam.

“Saya juga berharap persidangan ini mampu memberi iktibar dan kesedaran kepada masyarakat khususnya generasi muda terhadap kepentingan memahami sejarah tamadun Melayu-Islam,” katanya.

Antara pengisian persidangan sehari itu ialah ‘Pesan Tamadun Melayu dan Pesan Tamadun Islam’ bersama lapan panel jemputan, antaranya Anggota Lembaga Pengarah Institut Integriti Malaysia, Datuk Wira Dr Ismail Ibrahim; Setiausaha Agung Majlis Perundangan Melayu Datuk Dr Hasan Mad dan Ketua Eksekutif Yayasan Karyawan, Datuk Zainal Abidin Borhan. – BERNAMA

Loading...