30 Terperangkap Akibat Tanah Runtuh Di Filipina

MANILA – Pasukan penyelamat Filipina berusaha mengeluarkan sekurang-kurangnya 30 orang yang tertimbus di bawah tanah dan runtuhan semalam selepas Taufan Yutu membawa hujan lebat ke kawasan pergunungan, menyebabkan bencana banjir dan tanah runtuh.

Anggota tentera dan petugas agensi bencana berjaya menyeberang jalan yang tersekat untuk sampai ke kawasan pedalaman itu di Wilayah Pergunungan, utara Filipina, di mana sebuah bangunan milik jabatan lebuh raya tempatan hampir tertimbus.

Satu mayat ditemui di lokasi kejadian. Mangsa merupakan antara sembilan orang yang terkorban di empat wilayah di rantau Cordillera kelmarin.

Taufan Yutu membadai pulau utama, Luzon kelmarin dengan tiupan angin selaju antara 140 kilometer sejam (kmj) hingga 230kmj sebelum mening­galkan Luzon pada petang hari yang sama.

“Berdasarkan gambar-gambar yang dihantar kepada saya pagi ini (semalam), bangunan itu tidak runtuh.

“Terdapat kemungkinan mangsa masih hidup. Mereka tidak akan mati jika tidak dihempap,” kata pengarah jabatan pertahanan awam, Ruben Carandang.

Menurutnya, seramai 20 orang buruh, seorang jurutera, tiga pengawal keselamatan dan enam atau tujuh penduduk tempatan berada di dalam bangunan itu untuk berlindung daripada Taufan Yutu.

Sementara itu, enam mangsa yang terkorban di rantau Cordillera mati akibat tanah runtuh dan seorang lagi didapati lemas. Empat daripada mereka merupakan kanak-kanak berumur antara lima tahun hingga 11 tahun. – Reuters/KOSMO ONLINE

Loading...