30 Minit Kaki Tersepit Longkang

KUALA LUMPUR – Seorang kanak-kanak lelaki terpaksa menahan kesakitan kira-kira 30 minit selepas kakinya tersepit di dalam lubang longkang kecil ketika bermain bersama rakannya dalam kejadian di Kampung Pasir, Ulu Yam Baru dekat sini petang tadi.

Pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu yang menerima panggilan mengenai kejadian tersebut pada pukul 5.49 petang berjaya mengeluarkan kaki murid berumur lapan tahun itu dengan memecahkan longkang.

Pegawai Bomba Kanan II BBP Kuala Kubu Bharu, Rosdi Shafie berkata, anggota bertugas memecahkan longkang menggunakan ‘resque tool’ dan kaki kanak-kanak tersebut hanya mengalami lebam dan calar selepas dikeluarkan.

“Kaki mangsa terjerlus ke dalam lubang longkang sebesar 10 sentimeter yang didapati tiada penutup. Longkang tersebut terletak di rumah jirannya ” katanya dalam satu kenyataan, hari ini. – UTUSAN ONLINE

Loading...