3 Syarikat Indonesia Di Singapura Terlibat Pembakaran Hutan

PETALING JAYA – Tiga firma Indonesia yang berpangkalan di Singapura dikaitkan dengan kebakaran hutan yang menyebabkan jerebu di negara tersebut, termasuk Malaysia, lapor The Star.

Syarikat terbabit ialah Hutan Ketapang Industri yang disita pihak berkuasa Indonesia setelah kebakaran dikesan di tanah miliknya. Syarikat itu dikaitkan dengan Sampoerna Agri Resources yang berpangkalan di Singapura.

Dua lagi syarikat ialah Asia Pulp and Paper (APP), pengeluar kertas terbesar Asia Tenggara dan April yang kedua-duanya mempunyai pejabat di Singapura.

Agensi Alam Sekitar Kebangsaan (NEA) Singapura berkata pihaknya sedang memantau keadaan jerebu dengan teliti, walaupun ia tidak mengambil tindakan terhadap firma tersebut di bawah Akta Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan.

Akta ini mensasarkan mereka yang bertanggungjawab menyebabkan kebakaran hutan jika hasil bacaan Indeks Standard Pencemaran 24 jam (PSI) menunjukkan tahap tidak sihat di Singapura.

Mereka yang bersalah boleh didenda sehingga S$100,000 (RM296,556.52) bagi setiap hari pencemaran, sehingga S$2 juta. Tiada denda dikenakan sejak undang-undang itu diluluskan pada 2014.

Jurucakap NEA berkata: “NEA sedang mengawasi keadaan dengan teliti, dan akan memberikan maklumat terkini yang sewajarnya jika kita memulakan siasatan ke atas mana-mana syarikat di bawah Akta Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan.”

Minggu lalu, kualiti udara di Singapura mencapai tahap tidak sihat di seluruh pulau itu dengan bacaan PSI mencecah sehingga 120. – FMT

Loading...