3 ‘Superman’ Tunggang Motosikal Masuk Lokap

PADAH tiga penunggang motosikal beraksi ala ‘Superman’ di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara selepas rakaman mereka tular menerusi Facebook dan telah mendapat perhatian pihak polis.

Lapor akhbar tempatan, Ketua Polis Daerah Mualim, Superintendan Wan Kamarul Azran Wan Yusof memberitahu pihaknya telah menahan tiga suspek dan masih mengesan saki baki penunggang yang terdapat dalam video itu.

“Mereka antara lebih daripada lima anak muda yang ditahan dan dibawa ke Bahagian Siasatan Penguatkuasaan dan Trafik (BSPT) Seberang Perai Tengah sebelum dirujuk ke bahagian sama di Tanjung Malim, Perak.

“Tiga lelaki itu termasuk seorang pekerja swasta turut mengaku terlibat bersama ahli kumpulan yang melakukan aksi berbahaya seperti dalam video yang diviralkan netizen,” katanya semalam.

Mereka yang ditahan oleh Unit Risikan dan Operasi dari Jabatan Siasatan Penguatkuasaan dan Trafik (JSPT) Pulau Pinang berusia antara 21 tahun hingga 24 tahun.

Operasi penahanan kumpulan penunggang berkenaan bermula jam 2 petang di tiga lokasi berasingan di Bukit Mertajam, Pulau Pinang kelmarin.

Ujar Wan Kamarul lagi, kesemua suspek kini ditahan reman selama empat hari bermula hari ini untuk disiasat di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang motosikal dalam keadaan berbahaya.

Aksi berbahaya sekumpulan penunggang motosikal itu dirakam oleh seorang pengguna lebuh raya PLUS kira-kira pukul 3.15 petang berhampiran Tanjung Malim dan tular di media sosial. – MYNEWSHUB.CC/MIZE