3 Remaja Mengaku Salah Tunggang Motosikal Secara Bahaya

BATU GAJAH – Gara-gara menunggang motosikal dengan cara yang membahayakan orang awam, tiga remaja lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Tiga remaja masing-masing berumur 15 dan 16 tahun itu mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Majistret Mohd Fitri Sadarudin.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Bemban di sini, pada 5 dan 6 Okt, antara pukul 9.40 malam hingga 2 pagi.

Kesalahan itu mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang boleh dihukum penjara maksimum lima tahun dan denda maksimum RM15,000 serta hilang kelayakan menunggang atau mendapatkan lesen memandu selama dua tahun, jika sabit kesalahan.

Mahkamah memutuskan remaja berkenaan masing-masing diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 28 Jan untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Nur Farhana Hashim dan kesemua remaja itu tidak diwakili peguam. – BERNAMA

Loading...