3 Maut, 4 Parah Kemalangan Babitkan 3 Myvi

KLUANG – Tiga maut manakala empat lagi parah dalam kemalangan membabitkan tiga PERODUA Myvi dan sebuah motosikal di Jalan Batu Pahat-Kluang, berhampiran Agro Farm, dekat sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.06 malam, pemandu sebuah kereta PERODUA Myvi bersama penunggang dan pembonceng motosikal masing-masing dikenali sebagai Suparman, 36, dan Jambong, 63, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Empat lagi mangsa yang parah adalah pemandu dan penumpang dua lagi PERODUA Myvi yang identiti masing-masing sedang dikenalpasti oleh pihak berkuasa.

Komander Operasi, Penguasa Bomba Kanan II, Rohaizat Hamdan, berkata empat jentera masing-masing dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penggaram, Batu Pahat dan BBP Kluang dengan 25 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan.

“Tiga mangsa disahkan maut di lokasi kejadian dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

“Empat lagi mangsa yang parah dikejarkan ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom, Kluang oleh van Perkhidmatan Penyelamatan dan Perawatan Kecemasan (EMRS) bomba,” katanya dalam kenyataan, malam tadi. – BH Online