3 Kluster Baharu Covid-19 Dikesan

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan tiga lagi kluster baharu Covid-19 hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Kluster Samudera membabitkan kawasan Sandakan, Sabah hasil ujian saringan yang dijalankan ke atas pesakit bagi kes 22,612 pada 20 Oktober lalu.

Menurutnya, pesakit sudah dimasukkan ke Hospital Duchess of Kent di Sandakan untuk rawatan lanjut dan tujuh orang lagi disahkan positif bagi kluster ini.

“Bagi kluster kedua, Kluster Palma membabitkan kawasan Gombak, Hulu Selangor dan Kepong dan pesakit kini sedang menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh (HSB).

“Bagi kluster ini, seramai 12 orang lagi disahkan positif dan 101 sudah menjalani saringan dan 88 masih menanti keputusan ujian,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, Kluster Jaya adalah kluster ketiga dikenal pasti membabitkan kawasan Sepang dan Seremban hasil saringan di tempat kerja pada Selasa lalu.

Katanya, kluster ini merekodkan lapan kes positif dan 48 individu sudah disaring setakat hari ini.

“Semua pesakit positif kini dirawat di HSB manakala 39 individu masih menunggu keputusan,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, setakat ini masih terdapat 31 kluster aktif dengan Kluster Penjara Kepayan di Kota Kinabalu masih mencatat jumlah positif tertinggi dengan 140 kes. – myMetro Online