3 Kerusi BN Menang Catat Peratusan Tinggi

KUALA LUMPUR – Daripada lapan Pilihan Raya Kecil (PRK) sepanjang satu tahun Pakatan Harapan (PH) mengambil alih pusat pentadbiran Putrajaya, hanya tiga daripadanya menunjukkan peratusan keluar mengundi melebihi 60 peratus.

Manakala lima PRK lagi merekodkan peratusan terlalu rendah iaitu bawah 60 peratus.

Menurut aktivis politik, Azhad Milza, hasil daripada kajiannya mendapati tiga kawasan yang menyaksikan peratusan keluar mengundi tinggi ialah kerusi yang dimenangi calon Barisan Nasional (BN).

Beliau memberi contoh, kerusi Parlimen Cameron Highlands yang dimenangi calon BN, Ramli Md Nor merekodkan 68.79 peratus, diikuti kerusi DUN Semenyih (73.24 peratus) dan DUN Rantau (79.31 peratus).

Sebaliknya pula, lima kerusi dimenangi calon Pakatan Harapan (PH), peratusannya agak rendah iaitu DUN Sungai Kandis 49.8 peratus, DUN Sri Setia (44 peratus), DUN Balakong (43 peratus), Parlimen Port Dickson (58.2 peratus) dan Parlimen Sandakan (54.44 peratus).

Semua peratusan lima kerusi dimenangi kerajaan PH juga tidak menepati sasaran Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Ini berbeza dengan PRK ketika BN memerintah iaitu DUN Sungai Limau di Kedah tahun 2013, peratusan keluar mengundi sebanyak 85.41 peratus, diikuti PRK Parlimen Kuala Kangsar tahun 2016 (71.4 peratus) dan Parlimen Sungai Besar (74.4 peratus). – MalaysiaGazette