3 Jam Tamrin Beri Keterangan Di Bukit Aman

KUALA LUMPUR – Bukit Aman selesai mengambil keterangan Datuk Mohd Tamrin Abdul Ghafar berhubung kenyataan berbaur hasutan terhadap Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim, yang dimuat naik menerusi blog miliknya, hari ini.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) (Risikan/Operasi) Bukit Aman, Datuk Mohd Roze Shaari, ketika dihubungi memaklumkan Mohd Tamrin memberi kerjasama baik sepanjang proses rakam keterangan berjalan.

“Beliau hadir pada jam 11 pagi dan proses rakam keterangan berjalan kira-kira tiga jam.

“Siasatan kes ini dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.

Mohd Roze berkata, proses rakam keterangan dilakukan pegawai penyiasat Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang (D5) JSJ Bukit Aman.

Sementara, Mohd Tamrin, yang juga anak sulung bekas Timbalan Perdana Menteri, Allahyarham Tun Abdul Ghafar Baba, ketika ditemui berkata, beliau memberi keterangan berhubung 34 perkara yang ditulis dalam artikel bertajuk ‘TMJ – Bodoh Sombong Yang Tak Boleh Diajar’ itu.

“Saya dimaklumkan siasatan terhadap saya ini dibuat susulan laporan polis oleh seorang individu di Majidee, Johor, namun tidak dapat dipastikan bila.

“Penulisan itu tidak memihak kepada mana-mana pihak (parti politik), saya tak bersama mana-mana politik, takde siapa mahukan saya.

“Dahulu pernah dengan UMNO, dan PAS. Saya tinggalkan PAS selepas Nik Aziz (Mursyidul Am PAS, Allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat) meninggal,” kata beliau.

Terdahulu, beliau tiba di Bukit Aman bersama peguam mewakilinya, Mohd Azharul Ab Talib kira-kira jam 11 pagi tadi.

Ini bagi membantu siasatan berhubung artikel menerusi blognya ‘tamrintunghafar@blogspot.com, bertajuk, ‘TMJ – Bodoh Sombong Yang Tak Boleh Diajar’ yang dimuat naik pada 1 Februari lalu.

Kenyataan itu dipercayai merujuk kepada TMJ dan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar. – BH Online

Loading...