3 Exco Pulau Pinang Beri Keterangan Kepada SPRM

GEORGE TOWN – Tiga Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang hadir di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang hari ini, dipercayai berkait siasatan projek terowong dasar laut.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Jagdeep Singh Deo, tiba sekitar jam 9.30 pagi, meninggalkan premis itu pada jam 12.01 tengah hari tanpa memberi sebarang kenyataan kepada pihak media yang menunggu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Keterangkuman Gender dan Agama Selain Islam, Chong Eng, pula memasuki bangunan sama pada jam 11.23 pagi.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh, dilihat tiba pada jam 2.20 petang.

Ketika ditemui media, Eng yang keluar dari pejabat itu pada jam 3.20 petang, berkata beliau ditanya mengenai latar belakangnya serta bagi mengesahkan mengenai projek tiga jalan dan terowong dasar laut.

“Semuanya berjalan lancar,” katanya sambil menyatakan pertemuannya berlangsung singkat kerana pegawai SPRM yang mengambil keterangannya menerima tugasan itu pada saat akhir, selepas individu yang sepatutnya menguruskan hal itu diberikan tugasan lain.

Ditanya sama ada beliau akan dipanggil semula, Eng memaklumkan yang beliau tidak pasti, kecuali dimaklumkan urusannya untuk hari ini sudah selesai.

Terdahulu, beberapa pegawai SPRM dilihat tiba di Bangunan Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR) pada jam 9.55 pagi tadi bagi meneruskan siasatan suruhanjaya itu berhubung projek terowong dasar laut.

Bagaimanapun, wartawan yang menunggu di tingkat 53 sejak jam 8.30 pagi diarah meninggalkan kawasan itu dan turun ke tingkat bawah oleh pengawal keselamatan.

Jumaat lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki, memaklumkan mereka tidak pernah menutup siasatan projek bernilai RM6.3 bilion itu, sebaliknya lima kertas siasatan dibuka, selain siasatan juga berada di peringkat akhir. – BH Online

Loading...