3 Ditahan Disyaki Buang Sisa Kimia Ke Sungai Kim Kim

JOHOR BAHRU – Tiga lelaki termasuk dua pemilik kilang ditahan kerana disyaki membuang sisa bahan kimia ke dalam Sungai Kim Kim, Khamis lepas.

Mereka yang ditahan terdiri daripada pemilik kilang memproses bahan kimia berusia dalam lingkungan 50-an dan pemilik kilang memproses bahan lusuh berusia 40-an bersama pekerjanya berusia 50-an.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor, Datuk Mohammad Ezzani Mat Salleh berkata, pemilik kilang memproses bahan kimia itu ditahan petang semalam manakala dua yang lain ditahan pukul 12.30 tengah hari ini.

“Kami tangkap dan serah kepada polis untuk siasatan mengikut Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di luar kilang memproses bahan lusuh yang terletak 500 meter dari lokasi pembuangan sisa itu.

Khamis lepas media melaporkan 1,400 pelajar sekolah Sekolah Menengah Kebangsaan Pasir Putih dan Sekolah Kebangsaan Taman Pasir Puteh diarah mengosongkan kawasan sekolah apabila beberapa pelajar mengalami sesak nafas, muntah dan pengsan selepas terhidu gas dipercayai daripada bahan kimia yang dibuang ke dalam Sungai Kim Kim.

Loading...