2,985 Positif Covid-19, 4 Kematian, 11 Kluster Baharu

KUALA LUMPUR – Penularan Covid-19 dalam negara mencatatkan 2,985 kes hari ini dengan merekodkan empat kematian baharu. 

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia menjadikan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 di Malaysia meningkat kepada 144,518 kes dengan kebolehjangkitan sebanyak 32,377 kes.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut merekodkan bilangan kes sembuh Covid-19 sebanyak 994 kes menjadikan jumlah kumulatif kes pulih adalah 111,578 kes.

“Daripada jumlah kes baharu berkenaan, terdapat dua kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara manakala penularan dalam negara pula adalah 2,983 kes.

“Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 837 kes (28 peratus). Ini diikuti Johor sebanyak 535 kes dan Sabah sebanyak 450 kes,” katanya pada sidang media, hari ini.

Beliau turut memaklumkan, ada pertambahan empat kematian hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian adalah sebanyak 563 kes atau 0.41 peratus.

“Sehingga kini, terdapat 197 kes positif Covid-19 yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 53 kes memerlukan bantuan pernafasan.

“KKM turut mengesan 11 kluster baharu hari ini iaitu Kluster Taman Integrasi, Kluster Jalan Ijuk , Kluster Jalan Rami, Kluster Kota, Kluster Tanjung Megah, Kluster Jalan Kasturi, Kluster Jalan Thamby, Kluster Taman Batik, Kluster Bukit Bakar, Kluster Kampung Tengah dan Kluster Dialisis Malim,” katanya. – myMetro Online