28 Orang Ditahan, 46 Kes Disiasat Kerana Ingkar PKP

SHAH ALAM –┬áPolis membuka 46 kertas siasat berhubung kes kegagalan pematuhan Perintah Kawalan Keselamatan (PKP) yang genap seminggu hari ini.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, seramai 28 orang juga telah ditahan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

“Sebanyak 695 laporan polis telah dibuat di mana 46 kes sedang disiasat.

“Seperti yang telah saya jelaskan polis akan ubah cara (pemantauan) bukan setakat nasihat tapi tindakan undang-undang akan diambil kepada yang ingkar,” katanya dalam sidang media mengenai PKP hari ini.

Beliau berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia juga kini menyiasat sebanyak 85 kes berita palsu.

“Sebanyak enam kes telah dibawa ke mahkamah,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, tahap pematuhan PKP hari ini meningkat kepada 95 peratus berbanding 92 peratus semalam.

Bagaimanapun katanya, trend kini menunjukkan berlaku pergerakan dari kampung ke bandar-bandar besar kerana rakyat sudah mula untuk pulang.

Justeru beliau mengingatkan orang ramai agar membatalkan sebarang rancangan perjalanan ke bandar dalam tempoh PKP.

“Polis juga membuat sekatan di 23 tol untuk sekat masyarakat yang mahu balik (ke bandar).

“Pemandu akan diminta balik semula ke kampung masing-masing jadi sesiapa saja tak perlu rancang perjalanan kerana pihak polis tidak akan benarkan,” katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan akan memperincikan prosedur operasi standard (SOP) kawasan berisiko tinggi yang diklasifikasikan sebagai zon merah Covid-19.

Ujarnya, perkara itu sedang dibincangkan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan (KKM), polis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Kita akan mengeluarkan perincian lebih mendalam mengenai kawasan zon merah kerana banyak perkara yang perlu diperincikan sebelum sebarang tindakan dibuat.

“Sebagai contoh kawasan Gombak. Di mana kawasan khusus dalam Gombak kerana Gombak amat luas, sedangkan kita hanya mencari kawasan yang perlu dijadikan tumpuan,” katanya.

Beliau turut mengumumkan penubuhan jawatankuasa khas dipengerusikan oleh Menteri Kanan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bertujuan memastikan bekalan makanan mencukupi dan tidak terganggu.

Selain MITI, turut terlibat adalah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) serta Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani. – Sinar Harian

Loading...