Friday, March 29, 2024

Creating liberating content

Prabakaran Diminta Letak Jawatan...

KUALA LUMPUR - Empat belas pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mencadangkan supaya Ahli Parlimen...

PRN Johor: Pemimpin Bersatu...

JOHOR BAHRU : Bekas Setiausaha Agung UMNO Tan Sri Annuar Musa menganggap kembalinya...

Dividen 2016 KWSP Atasi...

KUALA LUMPUR - Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencatatkan keputusan yang baik meskipun...

Bekas Jurutera JKR Kulaijaya...

PUTRAJAYA: Bekas jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) daerah Kulaijaya menangis teresak-esak selepas Mahkamah...

28 Mei Sebutan Semula Kes Rasuah Guan Eng, Isteri, Li Koon

BUTTERWORTH – Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, menetapkan 28 Mei sebagai tarikh sebutan semula kes salah guna kuasa bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Hakim Ahmad Azhari Abdul Hamid menetapkan tarikh itu selepas pihak pembelaan memerlukan masa selama tiga bulan bagi meneliti lebih 100 dokumen bercetak yang sudah diterima daripada pihak pendakwaan pada Selasa lalu.

Ahmad Azhari juga menetapkan tarikh sama terhadap sebutan semula kes isteri Guan Eng, Betty Chew Gek Cheng, yang didakwa melakukan pengubahan wang haram dan ahli perniagaan, Phang Li Koon yang didakwa bersubahat dengan Guan Eng.

Ketika prosiding pengurusan kes hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Peguam Negara, Shafiq Hasim dan Ashrof Adrin Kamarul memaklumkan pihaknya sudah menyerahkan lebih 100 dokumen bercetak mengandungi lebih 1,000 muka surat kepada kedua-dua pihak pembelaan pada Selasa lalu.

Pihak pembelaan yang diwakili RSN Rayer dan A Ruben Kumar kemudian memohon masa selama tiga bulan bagi meneliti semua dokumen itu termasuk menasihati tertuduh.

Mahkamah kemudian bersetuju dan pihak pendakwaan juga tidak membantah dengan permintaan berkenaan kerana turut mengambil kira situasi pandemik COVID-19.

Sementara itu, pihak pembelaan juga menyatakan akan memfailkan permohonan interlokutori dalam tempoh terdekat.

Pihak pendakwaan turut memberitahu apabila semua dokumen sudah selesai diteliti pihaknya dan tidak ada perkara berbangkit lain, pihaknya akan memohon tarikh perbicaraan kes itu.

Ketika prosiding, Guan Eng, isterinya dan Li Koon tidak hadir kerana mendapat pengecualian mahkamah. 


Pada 11 Ogos tahun lalu, Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan mengaku tidak bersalah di mahkamah sama atas pertuduhan menggunakan kedudukannya sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang untuk suapan RM372,000 bagi membolehkan sebuah syarikat ditawarkan projek. 

Mengikut pertuduhan, Guan Eng, 60 yang juga ketika itu Pengerusi Lembaga Tawaran Penang Development Corporation (PDC), menggunakan kedudukannya untuk suapan wang bagi isterinya melalui syarikat Excel Property Management & Consultancy Sdn Bhd. 

Ia bagi memastikan syarikat Magnificent Emblem Sdn Bhd ditawarkan Jemputan Cadangan Perkampungan Pekerja di Lot 631, Mukim 13, Juru, Seberang Perai Tengah dan sebahagian Lot 282, Mukim 13, Batu Kawan, Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang bernilai RM11,610,000 yang mana isterinya secara tidak langsung mempunyai kepentingan.

Setiausaha Agung DAP itu dituduh melakukan kesalahan berkenaan antara Ogos 2013 hingga 3 Mac 2016 di pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR).

Bagi kesalahan itu, beliau didakwa mengikut seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) dan sabit kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

Li Koon pula didakwa bersubahat dengan Guan Eng melakukan perbuatan itu di tempat dan tarikh sama, manakala Betty Chew didakwa atas tiga pertuduhan melakukan penggubahan wang haram RM372,000 yang dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya. 

Semua kesalahan dilakukan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (Akta 613) dan sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM5 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali. – BH Online

Kategori