274,639 Pekebun Kecil Getah Risda Terima Bantuan RM600

PUTRAJAYA – Seramai 274,639 pekebun kecil getah yang berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) akan menerima Bantuan Musim Tengkujuh sebanyak RM600, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Beliau dalam kenyataan hari ini berkata bantuan itu akan dibayar dalam dua peringkat iaitu sebanyak RM300 pada akhir tahun ini dan baki RM300 pada awal tahun depan.

Menurutnya, atas cadangan Kementerian Kewangan, jemaah menteri pada 12 Dis lepas (2018) bersetuju sebanyak RM164,783,400 diperuntukkan bagi pemberian bantuan kepada 274,639 pekebun kecil getah Risda yang berhadapan dengan beban sara hidup berikutan pendapatan mereka terjejas semasa musim tengkujuh.

“Kesukaran para pekebun kecil getah Risda telah mendapat perhatian dan keprihatinan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang meluluskan Bantuan Musim Tengkujuh ini,” katanya.

Daripada 274,639 pekebun terbabit, seramai 255,997 orang merupakan pemilik yang mengusahakan sendiri kebun mereka (pemilik pengusaha), manakala 18,642 pula penoreh bukan pemilik yang mengusahakan tanah berkeluasan tidak melebihi 2.5 hektar.

Lim berkata Kementerian Kewangan akan menyalurkan peruntukan tersebut kepada Kementerian Hal Ehwal Ekonomi selaku kementerian yang mengawal selia Risda. – BERNAMA

Loading...