24 Pengawal Khas Jaga Hajar Aswad

SETIAP tahun, jutaan jemaah kunjungi Makkah untuk ibadah haji atau umrah yang lazimnya sangat mengharapkan agar dapat menembusi keadaan penuh sesak itu bagi cium atau sentuh Hajar Aswad.

Di hadapan Hajar Aswad yang bermaksud batu warna hitam itu, kebiasaannya terdapat seorang pengawal yang pantau dan bantu para jemaah tertentu terutama kurang upaya ingin menyentuh bongkah istimewa tersebut.

Setiap jam, seorang pengawal baharu akan bergilir-gilir mengambil alih tanggungjawab menjaga Hajar Aswad dan memastikan keselamatan para jemaah yang bersesak mahu mendekati batu berkenaan selepas selesai tawaf.

Para pegawai keselamatan memberitahu portal Al-Arabiya bahawa 24 pengawal yang melindungi batu itu dipilih berdasarkan senarai kriteria tertentu. Mereka perlu memastikan yang mereka sesuai untuk menjalankan tugas itu.

Ini termasuk calon mesti mempunyai kesihatan tubuh badan yang baik dan mampu bertahan dalam cuaca panas terik jika dikerah bertugas pada waktu siang.

Para pegawai dari Jabatan Hal Ehwal Masjidil Haram akan bertugas membersihkan kawasan tersebut selepas setiap waktu solat fardu dengan sabun, air mawar, Oud, dan pembersih udara khas.

Meskipun kebanyakan orang menyangka bahawa Hajar Aswad adalah sebuah batu yang lengkap, ia sebenarnya terdiri daripada lapan batu kecil, dengan saiz terbesar adalah batu sebesar biji kurma.

Hajar Aswad terletak di sudut timur Kaabah dan kedudukannya sekitar satu setengah meter dari tanah. Ia dikelilingi oleh bingkai perak yang diikat oleh paku perak pada dinding luar Kaabah.

Tapak Hajar Aswad tersebut menandakan permulaan dan penghujung setiap tawaf di sekitar Kaabah, sambil para jemaah sering melambai atau cuba menyentuh batu itu dengan setiap pusingan.

Ia diletakkan di kedudukan tersebut hasil kebijaksanaan Nabi Muhammad SAW selepas hanyut akibat peristiwa banjir besar dan beberapa ketua puak berebut mahu memasang batu tersebut. – Agensi

Loading...