22 Maut Letupan Berhampiran Kilang Kimia

BEIJING – Letupan berhampiran loji kimia di utara wilayah Hebei, China membunuh sekurang-kurangnya 22 orang dan mencederakan 22 yang lain, kata pihak berkuasa tempatan semalam.

Menurut laporan pihak berkuasa di laman sosial Weibo, insiden itu berlaku dekat loji milik Syarikat Hebei Shenghua Chemical di bandar Zhangjiakou, kira-kira 200 kilometer di barat laut Beijing.

Kejadian yang berlaku di bandar tuan rumah sukan Musim Sejuk 2022 itu, turut menyebabkan 50 trak besar dan kecil terbakar.

Menurut kenyataan itu, semua mangsa yang cedera dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan, susulan letupan yang berlaku kira-kira jam 12.41 pagi (waktu tempatan).

Rakaman gambar di laman Twitter yang disiarkan oleh stesen televisyen tempatan menunjukkan, serpihan bangkai trak dan kereta yang terbakar bertaburan di jalan raya ketika beberapa anggota bomba sedang bertugas di tempat kejadian.

Kenyataan itu tidak menyebut sama ada kilang atau tempat lain turut terjejas akibat letupan itu.

“Ketika ini kerja mencari dan menyelamat serta menyiasat punca kemalangan itu sedang dilakukan di tempat kejadian,” kata jabatan kerajaan itu.

Zhangjiakou bakal menjadi tuan rumah sukan Olimpik, acara ski pada Sukan Musim Sejuk 2022, anjuran Beijing. Tidak dapat dipastikan sama ada letupan itu berlaku berhampiran lokasi acara itu. – AFP/myMetro Online

Loading...