2018 Tahun Berangsang Industri Filem Negara

KUALA LUMPUR – Tahun 2018 boleh dianggap sebagai tahun paling memberangsangkan dalam industri perfileman negara terutama dalam menembusi pasaran perfileman…

KUALA LUMPUR – Tahun 2018 boleh dianggap sebagai tahun paling memberangsangkan dalam industri perfileman negara terutama dalam menembusi pasaran perfileman antarabangsa.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Eddin Syazlee Shith berkata beberapa kejayaan filem yang meraih kutipan luar jangkaan menunjukkan momentum kebangkitan semula filem Melayu selepas sekian lama kurang mendapat sambutan daripada penonton.

“Kalau dahulu mungkin penonton tidak begitu menitikberatkan pengisian kandungan cerita tetapi saya percaya kini mereka sudah pandai menilainya, jalan cerita yang dihasilkan pemain industri pada masa kini semakin kreatif dan menarik.

“Ini juga selaras dengan usaha Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dan Persatuan Kandungan Kreatif Malaysia (CCAM) yang sentiasa memberi bimbingan dan galakan kepada pengusaha filem tempatan.

“(Ini) supaya (pengusaha filem) dapat menerbitkan filem-filem yang berkualiti untuk bersaing dalam pasaran global,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis pelancaran ConnectASIA 2018 di sini, hari ini.

Eddin Syazlee berkata beberapa buah filem tempatan berjaya menunjukkan pencapaian luar biasa seperti filem biopik ‘Lee Chong Wei: Rise of the Legend’ telah ditayangkan di 8,000 panggung wayang di China, filem ‘Pulang’ dipertontonkan di 190 negara menerusi tayangan perdana eksklusif di Netflix serta ‘Paskal’, ‘Dukun’ dan ‘Munafik 2’ berjaya mencatat kutipan ‘box office’ pada hari tayangan di pawagam seluruh negara.

Beliau berkata bagi memperkasa filem tempatan, beberapa kriteria dan penambahbaikan akan dilaksanakan dengan kerjasama Finas dalam usaha menghasilkan filem yang berkualiti serta berjaya menembusi pasaran global. – BERNAMA

Loading...