200 Pelarian Rohingya Di Malaysia Hadiri Himpunan Tabligh

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Hak Asasi Manusia Etnik Rohingya Myanmar Malaysia (MERHROM) akan membantu kerajaan Malaysia menangani penularan COVID-19, selepas dipercayai 200 pelarian Rohingya telah menghadiri perhimpunan tabligh, di Seri Petaling baru-baru ini.

Dalam satu kenyataan hari ini, presidennya, Zafar Ahmad Abdul Ghani, berkata sejak penularan itu berlaku organisasi itu melalui jawatankuasanya telah menjelaskan kepada pelarian Rohingya, mengenai simptom dan langkah berjaga-jaga yang perlu diambil.

“MERHROM secara berterusan menularkan kesedaran mengenai langkah berjaga-jaga dan juga memujuk komuniti Rohingya menjalani saringan, jika terdapat simptom pada diri mereka.

“Organisasi kami akan terus memantau komuniti ini dan akan mengambil tindakan sepatutnya jika ada, kami menggalakkan semua pelarian untuk menghubungi talian UNCHR atau MERHROM, jika mereka mempunyai sebarang pertanyaan dan kita akan terus membantu kerajaan Malaysia untuk mengekang penularan COVID-19,” katanya dalam kenyataan.

Zafar berkata, bagi pihak MERHROM beliau ingin mencadangkan kepada kerajaan untuk mengadakan klinik ujian bergerak, bagi menguji mereka yang mempunyai simptom termasuk ahli keluarga mereka, kerana terdapat ramai yang takut untuk keluar dan ditangkap, berikutan arahan kerajaan.

Loading...