20 Petugas Usung Wanita 350 Kilogram

PALANGKA RAYA – Seramai 20 petugas termasuk anggota bomba terpaksa memecahkan tingkap dan pintu sebuah rumah di sini untuk membawa keluar seorang wanita obes untuk mendapatkan rawatan di hospital.

Beratus-ratus penduduk membanjiri kawasan di Jalan George Obos untuk melihat satu pasukan terdiri daripada anggota bomba, pegawai masyarakat dan petugas kesihatan yang ditugaskan mengangkat Titi Wati yang memiliki berat badan mencecah 350 kilogram.

Liputan6 melaporkan, operasi itu bermula pada jam 8 pagi (waktu tempatan) dengan beberapa anggota bomba memecahkan pintu dan tingkap rumah wanita berkenaan yang diperbuat daripada kayu.

Pintu dan tingkap itu terpaksa dipecahkan kerana tubuh Titi terlalu besar hingga tidak muat untuk dibawa keluar melalui pintu.

Pasukan itu juga membina satu pengusung khas diperbuat daripada kayu dan papan serta memerlukan seramai 20 lelaki untuk membawanya ke sebuah trak yang terletak kira-kira 10 meter dari rumah.

Trak itu kemudian membawa Titi ke hospital Dorrys Sylvanus untuk rawatan lanjut.

Kisah Titi yang memiliki berat berlebihan hingga dia tidak mampu berdiri dan hanya meniarap di rumahnya mula mendapat perhatian selepas wanita itu merayu untuk diselamatkan.

Ketika diselamatkan, Titi mengucapkan syukur dan berterima kasih kepada kerajaan yang prihatin dengan keadaan dirinya.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada kerajaan. Saya kini bersedia zahir dan batin untuk menjalani semuanya,” katanya.

Sementara itu, jurucakap Hospital Dorrys Sylvanus, Theodorus Sapta Atmaja memberitahu, Titi ditempatkan dalam bilik khas dan pihaknya akan menyediakan laporan perubatannya.

“Selepas itu Titi akan menjalani prosedur mengikat perutnya dan berharap berat badan pesakit ini akan menurun sebanyak 15 hingga 20 kilogram dalam sebulan,” katanya. – Agensi