Anggota Pentadbiran Daripada BN Sokong Bajet 2021

KUALA LUMPUR – Seramai 20 anggota pentadbiran kerajaan daripada Barisan Nasional (BN) menyatakan sokongan supaya Belanjawan 2021 diluluskan di Dewan Rakyat.

Pendirian itu bagi memastikan proses pemulihan kesan negatif pandemik COVID-19 terhadap ekonomi dapat dilaksanakan secara teratur dan tersusun melalui pentadbiran yang stabil.

Dalam satu kenyataan bersama hari ini, mereka memaklumkan, pendirian itu selari dengan titah Yang di-Pertuan Agong yang menasihati Ahli Parlimen supaya memberi sokongan padu kepada Belanjawan 2021.

Baca: Banyak Manfaat Bakal Diraih Malaysia Melalui RCEP

Mereka juga bersetuju supaya kerajaan dibentuk secara muafakat ketika ini terus didukung, termasuklah dengan memberi sokongan penuh kepada kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam melaksanakan pelan pemulihan ekonomi dan kesihatan rakyat.

“Anggota pentadbiran kerajaan daripada BN (yang juga Ahli Parlimen) mengambil maklum cadangan dan pandangan dikemukakan Ahli Parlimen BN berkenaan Belanjawan 2021. Cadangan dan pandangan ini akan diambil kira untuk dilaksanakan dari semasa ke semasa.

“Untuk memastikan kestabilan kerajaan yang lebih jitu, kami berpendapat pilihan raya umum diadakan secepat mungkin, sebaik sahaja keadaan kesihatan awam mengizinkan untuk memperolehi mandat rakyat yang jelas,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu ditandatangani Menteri Kanan (Pertahanan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong; Menteri Sumber Manusia, M Saravanan; Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad; Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa dan Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Selain itu, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican; Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah; Menteri, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin; Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique serta Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba.

Kenyataan itu turut ditandatangani Timbalan Menteri Dalam Negeri I, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said; Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar I, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad; Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib dan Timbalan Menteri Kewangan II, Mohd Shahar Abdullah.

Turut menandatangani, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datin Mastura Mohd Yazid dan Arthur Joseph Kurup; Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, Datuk Seri Ahmad Hamzah; Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin serta Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan Dan Komoditi I, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng.

Kenyataan itu berkata, semua mereka bersepakat untuk mengukuhkan kedudukan BN dalam kerajaan sedia ada, selain menyusun gerak kerja bagi memastikan gabungan itu menjadi suara terkuat di dalam kerajaan.

Sehubungan itu, katanya, mesyuarat bersama Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam, memutuskan supaya ahli Jemaah Menteri daripada BN mengadakan perjumpaan dan bermesyuarat secara lebih kerap bersama Ahli Parlimen Bagan Datuk itu.

“Ia bagi mendapatkan panduan berkenaan pendirian dan dasar BN untuk disampaikan kepada Jemaah Menteri. 

“Berdasarkan perkara dinyatakan ini, kami percaya rakan Ahli Parlimen BN yang lain akan turut memberi sokongan kepada Belanjawan 2021 bagi memastikan perancangan kerajaan membela nasib rakyat dan memulihkan ekonomi negara dapat dilaksanakan sebaik mungkin,” katanya. – BH Online