2 Wanita Maut Kemalangan Di Mersing

JOHOR BAHRU – Dua wanita maut dalam kemalangan melibatkan dua kenderaan di Jalan Mersing-Jemaluang, di Kampung Gajah Mati, dekat Mersing, malam tadi.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Mersing Pegawai Bomba Kanan II, Anuar Hussin berkata kemalangan pada 9.30 malam itu menyebabkan Zuriaty Abu Khalid, 36, dan Rohaya Ibrahim, 37, yang menaiki Proton Saga BLM maut di tempat kejadian.

Beliau berkata, dua lagi mangsa yang menaiki kenderaan pacuan empat roda Isuzu D-Max milik Ranhill SAJ pula iaitu K. Sathasevam, 48, dan Mizan Mohamed, 35, hanya cedera ringan.

“Pihak bomba mengambil masa 40 minit untuk mengeluarkan Zuriaty dan Rohaya yang tersepit dan sebaik tiba juga pihak ambulans sedang memberikan rawatan kepada mangsa yang cedera sebelum mengesahkan kedua-dua mangsa Proton BLM telah meninggal dunia.

“Mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Mersing dan yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan seterusnya,” katanya menerusi kenyataan, di sini, hari ini.

Loading...