2 Tahun Didera Ibu, Bapa Tiri

BUKAN sahaja didera ibu dan bapa tirinya sejak dua tahun lalu, kanak-kanak lelaki yang diselamatkan polis di Pangsapuri Desa Melayu, Taman Bayu Puteri, Johor Bahru, semalam, didapati tiada MyKid kerana kelahirannya tidak pernah didaftarkan.

Keadaan itu menyebabkan kanak-kanak berusia 12 tahun itu tidak pernah bersekolah dan tinggal di rumah bersama dua adik tirinya, perempuan berusia 3 tahun dan lelaki berusia setahun.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS), Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, perkara itu terbongkar hasil pengakuan pasangan suami isteri yang ditahan polis.

“Pada 11.30 pagi semalam, kami menerima laporan satu kes penderaan kanak-kanak dan susulan laporan itu, kami menjalankan siasatan sebelum menahan dua individu iaitu lelaki warga tempatan berusia 29 tahun yang juga bapa tiri mangsa dan seorang wanita warga asing, 38, yang juga ibu mangsa di sebuah rumah di Taman Bayu Putri pada 1 petang.

“Hasil soal siasat, pasangan suami isteri itu mengaku mendera kanak-kanak berkenaan sejak dua tahun lalu,” katanya di Johor Bahru, hari ini.

Menurutnya, mangsa kini menjalani pemeriksaan perubatan dan menjalani rawatan di sebuah hospital di negeri ini.

“Siasatan mendapati suspek lelaki yang juga pemandu bas di Singapura pernah menjadi Sukarelawan Polis di Balai Polis Puchong Jaya, Selangor, manakala isterinya peniaga makanan dalam talian.

“Gambar yang tular di FB menunjukkan suspek berpakaian ‘vest Polis’ dan duduk di atas motosikal adalah gambar lama ketika dia masih berkhidmat sebelum ditamatkan perkhidmatan pada 2013,” katanya.

Shahurinain berkata, suami isteri itu ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 26 Februari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana mendera.

Katanya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) JBS di nombor 07-2218999.

Sejak petang semalam, tular gambar seorang kanak-kanak dengan badannya terdapat kesan luka dipercayai mangsa dera.

Dua keping gambar itu memperlihatkan kesan kecederaan dengan gambar pertama membabitkan bahagian belakang badan mangsa terdapat kesan luka lama dan baru.

Gambar kedua memperlihatkan badan kanak-kanak itu mengalami kesan kecederaan.

Kanak-kanak itu didakwa didera dan dipukul menggunakan wayar periuk nasi oleh kedua ibu bapanya yang kini ditahan polis bagi membantu siasatan. – myMetro Online

Loading...