2 Suspek Kes Tembakan Di Rawang Ahli Kongsi Gelap 08

PETALING JAYA – Polis Selangor berkata dua daripada tiga lelaki yang ditembak mati di Batu Arang, Rawang adalah ahli kongsi gelap 08.

Ketua Polis Selangor Noor Azam Jamaludin berkata polis mempertahankan diri apabila diserang oleh suspek-suspek yang bersenjata api dan parang.

Menceritakan kejadian pada Sabtu lepas itu, Azam berkata sepasukan anggota dan pegawai dari Bahagian Siasatan Khas (D9) dari Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor dan Ibu Pejabat Daerah (IPD) Gombak yang sedang menjalankan rondaan di Rawang terserempak dengan suspek dalam keadaan mencurigakan.

Bagaimanapun tiga suspek berkenaan enggan berhenti untuk pemeriksaan dan memecut laju menghala ke Jalan Lama Batu Arang.

“Semasa kejar mengejar pihak polis telah terdengar beberapa das tembakan dan apabila sampai di satu selekoh tajam motokar yang dipandu oleh suspek telah terbabas dan melanggar tebing jalan.

“Suspek telah keluar dan sekali lagi melepaskan beberapa das tembakan ke arah polis serta menyerang menggunakan parang,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Polis membalas dengan melepaskan beberapa das tembakan ke arah suspek “sehingga tidak berlaku lagi ancaman dan keadaan menjadi selamat.”

Menurut kenyataan polis, dua suspek yang dikaitkan dengan kumpulan kongsi gelap 08 adalah Thavaselvam Gobindasany dan Mahendran Santhira Segaran.

Azam berkata Thavaselvam didapati mempunyai 23 kes polis.

Sementara suspek ketiga, Vijayaratnam Janarthanan berasal dari Sri Lanka. Pemeriksaan lanjut mendapati dia telah tinggal lebih masa di Malaysia dan telah mengikuti program pemutihan oleh imigresen pada 2013.

“Polis sentiasa menjalankan setiap siasatan secara teliti dan telus mengikut prosedur siasatan yang telah ditetapkan,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan tiga lelaki dipercayai terbabit dalam kes samun bersenjata dan pecah rumah maut dalam kejadian berbalas tembakan di KM22, Jalan Batu Arang, Rawang pada 5 pagi Sabtu lalu.

Polis kemudian menemui dua pucuk pistol separa automatik, tiga bilah parang dan tiga sarung muka.

Loading...