2 Remaja Maut Motosikal Bertembung Kereta

TAPAH – Dua remaja lelaki maut setelah motosikal yang ditunggang mereka bertembung dengan sebuah kereta di Kilometer 2, Jalan Tapah-Cameron Highlands di sini semalam.

Nahas pada pukul 11.30 malam itu mengakibatkan kecederaan parah terhadap K. Yoganathan, 19, dan rakannya, S. Dinesh, 18, dengan kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Tapah untuk rawatan kecemasan.

Bagaimanapun, dua remaja yang menunggang motosikal Yamaha 125ZR itu meninggal dunia di hospital berkenaan hari ini semasa menerima rawatan.

Ketua Polis Daerah, Superitenden Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, kemalangan berlaku semasa kedua-dua remaja itu dalam perjalanan ke Cameron Highlands manakala kereta jenis Proton Saga dipandu lelaki berusia 27 tahun itu pula menuju ke Pekan Tapah.

Katanya, apabila sampai di tempat kejadian, motosikal berkenaan hilang kawalan dan masuk ke lorong bertentangan sebelum bertembung dengan kereta tersebut.

“Pelanggaran itu mengakibatkan penunggang dan pembonceng motosikal cedera parah dan dibawa ke Hospital Tapah untuk rawatan lanjut.

“Kedua-dua mangsa bagaimanapun menghembuskan nafas terakhir di hospital berkenaan dengan Yoganathan disahkan meninggal dunia pada pukul 1.21 pagi manakala Dinesh yang membonceng motosikal itu pula kira-kira sejam kemudian,” katanya di sini hari ini.

Loading...