2 Remaja Lelaki Leka Berlumba Haram Ditahan

KEPALA BATAS – Dua remaja lelaki yang sedang leka berlumba haram di Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (BORR), dekat sini ditahan polis dalam Operasi Samseng Jalanan, awal hari ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor berkata polis menahan dua remaja masing-masing berusia 19 tahun itu dalam operasi khas Skuad 42 Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik yang bermula pukul 11 malam tadi hingga 4 pagi ini.

“Boleh dikatakan setiap malam terutama malam minggu pasukan skuad khas itu membuat operasi samseng jalanan di BORR kerana ia antara lokasi tumpuan geng mat rempit berlumba haram.

“Dalam operasi awal pagi tadi, polis menahan dua remaja itu kerana mereka berlumba haram dan melakukan pelbagai aksi antaranya menunduk badan, zig-zag serta meniarap atas motosikal dan ia bukan sahaja berbahaya kepada diri sendiri malah penguna jalan raya yang lain,” katanya di sini hari ini.

Katanya dua remaja itu direman dan polis akan meneruskan operasi dari semasa ke semasa dalam usaha membanteras kegiatan lumba haram di kawasan berkenaan.

Dalam pada itu, Noorzainy berkata pihaknya sedang mencari seorang saksi, Aida Rustini Ishak, 36, bagi menghadiri perbicaraan kes tangkapan dan pengedaran dadah yang akan dibicarakan pada 12 Dis ini di Mahkamah Tinggi (3) Pulau Pinang di George Town, dekat sini.

“Wanita itu beralamat terakhir di No 28, Taman Orkid Indah di Pongsu Seribu di sini dan No 19, Lorong Bandar Perda Utama 3, Bandar Perda di Bukit Mertajam dekat sini.Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai mereka boleh menghubungi Insp Nurhayati Khairudin di talian 019-4656361,” katanya.

Katanya polis juga mencari empat saksi termasuk dua wanita bagi menghadiri perbicaraan kes dadah di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang di George Town pada 14 dan 18 Dis ini.

Beliau berkata mereka ialah Ooi Boon Hoi, 35, beralamat di 1283-A Taman Law Hooi di Alor Setar, Kedah dan Chin Pik Meu, 32, alamat terakhir di 1283-A Taman Lam Fong juga di Alor Setar.

“Dua lagi saksi yang dicari ialah warga asing iaitu Nguyen Kicu Lan Limh, 33, berasal dari Vietnam dan Natthawut Kongkaew, 30, rakyat Thailand,” katanya.

Katanya orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai mereka boleh menghubungi Insp Mohd Hafiz Mohd Azmi di talian 011-10102772 atau mana-mana balai polis berdekatan. – BERNAMA

Loading...