2 Rakyat Malaysia Pulang Dari Wuhan Positif Koronavirus

PUTRAJAYA – Dua daripada 107 individu, yang tiba di tanah air Selasa pagi dari Wuhan, China menerusi Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR) digerakkan kerajaan Malaysia, disahkan positif novel koronavirus 2019 (2019-nCoV).

Ini menjadikan jumlah kumulatif kes positif kluster koronavirus di Malaysia kepada 12. 

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata kes terbaharu ini melibatkan dua warga Malaysia iaitu seorang lelaki berusia 45 tahun dan anak lelakinya yang berusia sembilan tahun. 

“Kedua-dua mereka (bapa dan anak) tidak menunjukkan sebarang gejala koronavirus ketika dibawa pulang dan disahkan positif di Pusat Pemantauan di Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) di Bandar Enstek, Nilai di Negeri Sembilan,” katanya pada sidang media harian perkembangan 2019-nCoV di Kementerian Kesihatan Malaysia di sini, hari ini.

Dr. Dzulkefly berkata kedua-duanya kini dirawat di wad isolasi di Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban. 

Selain anak lelakinya, lelaki itu pulang bersama isteri dan seorang lagi anak perempuan mereka.

Loading...