2 Pengarah Syarikat Ditahan Kes Tuntutan Palsu RM7 Juta

KUALA LUMPUR – Dua pengarah syarikat ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki mengemuka tuntutan palsu, berkaitan kontrak promosi pengiklanan kelolaan agensi kerajaan berjumlah lebih RM7 juta.

Kedua-dua individu masing-masing berusia 31 dan 45 tahun ditahan SPRM kira-kira jam 11 malam tadi, di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya selepas hadir memberi keterangan.

Hari ini, SPRM memperoleh perintah membenarkan mereka ditahan reman enam hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Perintah reman sehingga 29 Jun itu dikeluarkan oleh Majistret Shah Wira Abdul Halim.

Difahamkan, kedua-dua pengarah syarikat itu bersama kakitangan sebuah agensi kerajaan didapati bersekongkol mengemuka dokumen dan maklumat palsu kepada sebuah syarikat penyedia pinjaman berjumlah lebih RM7 juta.

Menurut sumber, pinjaman berkenaan untuk melaksanakan projek kelolaan agensi kerajaan terbabit.

“Siasatan masih dijalankan untuk mengesan beberapa lagi pemilik syarikat lain yang disyaki turut terbabit,” katanya sambil menambah, kedua-dua suspek sebelum ini juga pernah ditahan awal bulan ini atas kesalahan sama.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan.

Pada 11 Jun lalu, media melaporkan SPRM menahan tiga pengarah syarikat disyaki terbabit rasuah untuk memperoleh kontrak pengiklanan kerajaan bernilai kira-kira RM90 juta. – BH Online

Loading...