2 Pelajar Mengaku Rakam Video Dalam Kain Guru

KUALA LUMPUR – Dua pelajar mengaku bersalah terhadap pertuduhan membabitkan kes merakam dan menyebar video bahagian dalam kain baju kurung seorang guru wanita di sebuah sekolah menengah di sini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Mohd Sukri Kaman berkata, kedua-dua pelajar berkenaan dibenarkan diikat jamin RM2,000 oleh ibu bapa masing-masing sehingga tarikh jatuh hukuman pada 29 Febuari ini.

Menurutnya, pertuduhan tersebut dibaca di Mahkamah Kanak-Kanak MMJ12, Jalan Duta di sini hari ini.

“Kertas siasatan diteliti dan mereka dituduh mengikut Seksyen 292 (a) Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Baca: Pelajar Kantoi Rakam, Sebar Video Celah Kangkang Guru

Dalam kejadian 16 Januari lalu, video berdurasi tujuh saat dirakam menggunakan telefon bimbit pada 8.30 pagi ketika guru Bahasa Inggeris berkenaan sedang membalut meja pelajar di dalam kelas.

Susulan itu, polis mengenal pasti lima pelajar tingkatan tiga sekolah menengah di ibu negara yang merakam dan menyebarkan video bahagian dalam kain baju kurung seorang guru wanita tersebut. – MYNEWSHUB.CC