2 Parah, Bas Rombongan Rempuh Treler

BENTONG – Dua penumpang parah manakala tiga lagi cedera ringan dalam kemalangan membabitkan sebuah bas dengan sebuah treler di Kilometer 42.6 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak arah timur, di sini, malam tadi.

Dalam kemalangan kira-kira jam 11.50 malam, bas yang membawa 39 penumpang terdiri daripada guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) TTDI Jaya serta keluarga mereka itu dalam perjalanan dari Shah Alam ke Kelantan sebelum merempuh belakang treler membawa besi buruk di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Yusuf Unis, berkata kemalangan itu berlaku ketika bas menuruni laluan berbukit dan brek kenderaan itu dipercayai gagal berfungsi sebaik sahaja pemandu bas menyedari terdapat sebuah treler di hadapannya.

“Pemandu bas terbabit cuba mengelak ke kiri laluan menyebabkan bas itu melanggar besi penghadang jalan serta sisi kiri belakang treler terbabit sebelum terseret kira-kira 100 meter.

“Akibat daripada pelanggaran itu, lima penumpang wanita cedera. Dua mangsa yang parah dikejarkan ke Hospital Temerloh, manakala tiga yang cedera ringan dihantar ke Hospital Bentong.

“Pemandu bas serta treler terbabit tidak cedera,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Yusuf berkata, ujian saringan air kencing mendapati pemandu bas terbabit positif dadah jenis Methamphetamine.

“Pemandu bas berusia 31 tahun itu kini ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong untuk siasatan.

“Siasatan masih diteruskan untuk mengenal pasti punca kemalangan dan kemalangan disiasat mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – BH Online

Loading...