2 Maut Dalam Kemalangan Di Bandar Ainsdale

SEORANG remaja perempuan dan seorang kanak-kanak lelaki maut dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dan bas di Kilometer 265.6, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), arah selatan, berhampiran Bandar Ainsdale, di Seremban, awal pagi ini.​​​​​​​

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan, Norazam Khamis berkata, dalam kejadian 1.56 pagi itu, seorang wanita serta empat kanak-kanak (seorang perempuan dan tiga lelaki), cedera parah.

Katanya siasatan awal mendapati tujuh mangsa berkenaan menaiki kereta Proton Persona dari Kuala Lumpur menuju Seremban.​​​​​​​

​​​​​​​“Sebaik tiba di lokasi, kereta itu dikatakan cuba mengelak sebuah motosikal di hadapannya sebelum hilang kawalan dan merempuh pembahagi jalan sebelah kanan.​​

“Kereta itu berpusing beberapa kali sebelum dilanggar sebuah bas ekspress dari arah belakang, di laluan yang sama,” katanya ketika dihubungi di Seremban, hari ini.

Katanya, akibat rempuhan tersebut, remaja perempuan dan kanak-kanak lelaki tersebut tercampak keluar daripada kenderaan tersebut.​​​​​​​

Katanya, bomba menerima panggilan jam 1.57 pagi mengerahkan tujuh anggota ke lokasi sebelum tiba jam 2.12 pagi.​​​​​​​

“Sebaik tiba, seorang remaja perempuan dan kanak-kanak lelaki didapati maut di lokasi, manakala lima individu lain yang berada di dalam kereta berkenaan cedera parah,” katanya.

Norazam berkata, 29 penumpang dan pemandu bas terbabit tidak mengalami kecederaan.

“Mayat mangsa dan lima yang cedera diserahkan kepada pihak polis untuk dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar, di Seremban untuk bedah siasat dan rawatan lanjut,” katanya.​​​​​​​

Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban, Supt. Mohd Rosli Ishak ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian dan berkata siasatan masih dijalankan. – BERNAMA

Loading...