2 Maut Nahas Babit 4 Kenderaan Di Pedas-Linggi

SEREMBAN – Dua maut dalam kemalangan yang membabitkan empat kenderaan di Kilometer (KM) 255.1 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara berhampiran Pedas-Linggi dalam kejadian pada pukul 1.54 tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Rembau DSP Anuar Bakri Abdul Salam dalam satu kenyataan berkata yang maut dalam kejadian itu dikenali sebagai Mohd Azzarnuddien Abdullah, 41, dan Sharifah Hawa Syed Mokhtar, 55, masing-masing daripada kenderaan berasingan.

“Siasatan awal mendapati Proton Wira yang dipandu Mohd Azzarnuddien dalam perjalanan dari Ayer Keroh, Melaka menghala ke Senawang hilang kawalan lalu merempuh bahagian belakang sebuah lori jenis Isuzu yang juga dari arah yang sama.

“Akibat dari perlanggaran itu, lori berkenaan hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan dan merempuh kenderaan lain iaitu Proton Exora dan Mercedes Benz yang dinaiki Sharifah Hawa. Mangsa yang maut dibawa ke Hospital Tampin untuk tujuan post mortem manakala yang cedera dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban dan Alor Gajah untuk rawatan lanjut.

Anuar Bakri berkata kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) APJ 1987.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan Norazam Khamis berkata kemalangan itu membabitkan keseluruhan 15 mangsa dengan Proton Wira dinaiki lima orang, lori dua orang, Proton Exora (dua) dan Mercedes Benz (enam).

“Daripada jumlah itu, dua maut dan enam cedera manakala baki tidak mengalami kecederaan termasuk seorang kanak-kanak dan seorang bayi.

“Pihak kami yang tiba dilokasi kejadian bersama 17 anggota daripada tiga balai iaitu Rembau, Tampin dan Senawang sejurus menerima panggilan kecemasan pada 1.26 tengah hari, mengambil masa setengah jam mengeluarkan empat mangsa yang tersepit dalam kemalangan itu,” katanya. – BERNAMA

Loading...