2 Lagi Suspek Periksa Kereta Polis Ditahan

SEREMBAN – Polis hari ini berjaya menahan dua lagi lelaki yang disyaki memeriksa kereta peronda (MPV) polis semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Sabtu lalu, di hadapan pusat mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua dekat Rantau.

Pemangku Ketua Polis negeri, Datuk Mohamad Mat Yusop berkata, dua lelaki berkenaan yang berusia 20-an dan 40-an ditahan di dua lokasi berasingan di Nilai dan Rantau kira-kira pukul 11.30 pagi.

“Penahanan dua suspek ini sekali gus melengkapkan tangkapan lima lelaki yang dipercayai terlibat dalam insiden tersebut pada Sabtu lalu.

“Tiga suspek yang ditahan semalam telah mendapat perintah reman selama tiga hari bermula hari ini dan dua lagi akan dipohon reman,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan di sini, hari ini.

Sementara itu, Mohamad turut menasihati orang ramai yang mengalami insiden sama pada Sabtu lalu supaya tampil membuat laporan polis.

“Sehingga kini, tiada laporan polis oleh orang awam berhubung kes ini dan berkemungkinan suspek juga melakukan tindakan sama sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan orang ramai,” katanya.

Loading...