2 Lagi Kluster Baharu Covid-19

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenal pasti dua lagi kluster baharu Covid-19 di Negeri Sembilan, Kedah dan Pulau Pinang hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Kluster Cergas membabitkan daerah Seremban dengan kes indeks (kes ke-30,751 dikenal pasti positif Covid-19 hasil saringan individu bergejala pada 29 Oktober lalu.

Katanya, saringan kontak rapat mengesan sebanyak 11 lagi kes positif Covid-19.

“Kes terbabit dimasukkan ke Hospital Rembau, Hospital Tampin dan Hospital Tuanku Ja’afar.

“Sehingga jam 12 tengah hari ini, sejumlah 144 individu disaring membabitkan 12 kes dikesan positif Covid-19 (10 kes baharu), 126 individu dikesan negatif dan enam lagi masih menunggu keputusan,” katanya pada sidang media hari ini.

Menurutnya, Kluster Permatang pula dikenalpasti di Kulim, Kedah serta Seberang Perai Tengah, Seberang Perai Utara dan Timur Laut di Pulau Pinang.

“Kes indeks bagi kluster ini (kes ke-34,174) adalah kes jangkitan pernafasan akut teruk (SARI) di sebuah pusat perubatan swasta dan dikenal pasti positif Covid-19 pada 31 Oktober lalu.

“Kes indeks kemudian dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Pulau Pinang. Saringan kontak rapat mengesan tujuh lagi kes positif Covid-19,” katanya.

Katanya, semua kes dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang.

“Sehingga jam 12 tengah hari ini, 97 individu disaring merangkumi lapan kes dikesan positif Covid-19 (tiga kes baharu), 74 individu dikesan negatif dan 15 individu masih menunggu keputusan,” katanya. – myMetro Online