2 Lagi Kluster Baharu Covid-19 Dikesan

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenal pasti dua kluster baharu Covid-19, hari ini iaitu Kluster Bah Puchong dan Kluster Penjara Reman di Georgetown, Pulau Pinang.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Kluster Bah Puchong dikenal pasti di daerah Petaling, Selangor serta daerah Larut, Matang dan Selama serta daerah Kinta di Perak. 

Menurutnya, kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-13,061, kes ke-13,065 dan kes ke-13,069) dikenal pasti positif Covid-19 pada 5 Oktober lalu hasil saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi iaitu Sabah. 

“Ketiga-tiga mereka dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh. Susulan itu, saringan kontak rapat dijalankan dan dua lagi kes positif Covid-19 di Perak iaitu di daerah Larut, Matang dan Selama serta daerah Kinta dikenal pasti di mana mereka dimasukkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, Perak.

“Sehingga 12 tengah hari ini, sejumlah 39 individu disaring di mana 12 individu disaring di Selangor dengan tiga positif Covid-19 dan sembilan lagi masih menunggu keputusan.

“Manakala di Perak pula, seramai 27 individu disaring dengan dua dikesan positif Covid-19 sementara 25 lagi masih menunggu keputusan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, Kluster Penjara Reman pula dikenal pasti di daerah Timur Laut, Pulau Pinang.

“Kes indeks kluster ini (iaitu kes ke-13,499) adalah kes kematian ke-141 di mana beliau adalah seorang lelaki warganegara Malaysia berusia 85 tahun yang dijumpai tidak sedarkan diri pada awal pagi 5 Oktober lalu di dalam penjara dan disahkan meninggal dunia di Hospital Pulau Pinang. 

“Saringan Covid-19 yang dijalankan pada hari yang sama dikesan positif. Susulan itu, saringan kontak rapat dijalankan dan enam lagi kes positif Covid-19 dikenal pasti, semalam,” katanya.

Katanya, semua kes positif membabitkan warganegara Malaysia dan mereka dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan.

“Sehingga 12 tengah hari hari ini, sejumlah 286 individu disaring di mana tujuh kes dikesan positif Covid-19, 78 individu negatif dan 201 individu masih menunggu keputusan.

“Punca jangkitan masih dalam siasatan,” katanya. – myMetro Online