2 Lagi Didakwa Hina Agong

KUALA LUMPUR – Seorang pekebun dan seorang pekerja khidmat pelanggan wanita didakwa di Mahkamah Sesyen, hari ini masing-masing atas 1 pertuduhan menghina Yang di-Pertuan Agong, di laman sosial Facebook.

Sharil Mohd Sarif, 36, dan T R Thurkai Devi, 32, selaku Orang Kena Saman (OKS) yang kedua-duanya kelihatan bersahaja, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atas mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Shamsudin Abdullah.

Mengikut pertuduhan, Sharil didakwa melalui perkhidmatan aplikasi Facebook dengan menggunakan laman profil Facebook “Sharil Chain”, secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang jelik, berserta sekeping gambar senarai Yang di-Pertuan Agong, dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

Pautan itu kemudian dibaca di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Tingkat 27, Menara KPJ, Wangsa Maju, pada 11.30 pagi, 13 Mac lepas.

Thurkai Devi pula didakwa melalui perkhidmatan aplikasi Facebook “Thurkai Devi Tangga Raja”, secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

Pautan itu dibaca di laman profil Facebook “Belenggu Fatamorgana” di Pejabat Bahagian Perundangan (D5), Jabatan Siasatan Jenayah, Tingkat 14, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, Dang Wangi, pada 11.17 pagi, 4 Jun 2018.

Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya dan hendaklah juga didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Asyraf Md Kamal dan Mohd Sophian Zakaria tidak menawarkan wang jaminan terhadap Sharil dan Thurkai Devi dengan alasan kedua-dua mereka melakukan kesalahan serius kerana melakukan penghinaan terhadap pemimpin tertinggi negara.

“Perbuatan OKS Sharil ini boleh mencetuskan kegusaran dalam kalangan masyarakat. Saban hari ada sahaja di media sosial penghinaan yang dibuat terhadap Institusi Diraja, Yang di-Pertuan Agong, nabi dan agama, jika jaminan yang rendah diberikan dikhuatiri akan menyampaikan mesej yang salah kepada masyarakat bahawa penghinaan yang teruk bukanlah satu kesalahan serius,” katanya.

Bagi Thurkai Devi, Sophian berkata apa yang dilakukan wanita itu adalah serius apabila dia menghina Yang di-Pertuan Agong, iaitu ketua negara dengan perkataan yang sangat menghina, meletakkan Yang di-Pertuan Agong seolah-olah individu yang tiada kedudukan dalam negara.

Peguam M Dinesh yang mewakili Sharil dan Thurkai Devi secara pro bono (tanpa bayaran atau sukarela) memohon kedua-dua OKS diberikan jaminan dengan alasan mereka belum lagi didapati bersalah dan memberi kerjasama yang baik semasa siasatan pihak polis.

Mahkamah membenarkan kedua-dua OKS diikat jamin masing-masing RM5,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis berhampiran kediaman setiap bulan dan menetapkan 8 April untuk sebutan.

Loading...