2 Kanak-Kanak Dikhuatiri Lemas Selepas Dihanyutkan

KOTA KINABALU – Dua kanak-kanak dikhuatiri lemas manakala bapanya terselamat selepas dipercayai dihanyutkan di Sungai Liawan, di Keningau kira-kira 120 kilometer dari sini, selepas kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki mereka dibawa arus deras, tengah malam tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Keningau, Mudi Pengiran berkata dalam kejadian pada pukul 12.08 tengah malam itu, kanak-kanak lelaki dan perempuan yang berumur empat dan enam tahun itu bersama bapa mereka dipercayai sedang menyeberangi jambatan di sungai itu untuk pulang dari Kampung Dangulad ke Kampung Ansip.

“Jambatan itu tenggelam apabila air Sungai Liawan melimpah di bahagian hulu sungai itu disebabkan hujan lebat,” katanya ketika dihubungi Bernama, di sini hari ini.

Mudi berkata kenderaan yang dinaiki tiga beranak itu telah dijumpai pihak bomba tidak jauh dari lokasi kejadian pada pukul 12.30 tengah malam.

Bagaimanapun, dua kanak-kanak berkenaan tiada di dalam kenderaan itu.

Katanya, operasi mencari dan menyelamat terus diaktifkan dan bersambung pukul 8 pagi tadi dengan dibantu agensi lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM). – BERNAMA