2 Guru Pengsan, 32 Murid Sesak Nafas, Muntah, Loya

JOHOR BAHRU – Suasana sesi persekolahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Kepok dekat Pasir Gudang yang baru sahaja dibuka hari ini kembali kecoh apabila beberapa murid sekolah terbabit mengalami sesak nafas, loya dan muntah.

Difahamkan murid-murid mula menunjukkan simptom tersebut kira-kira pukul 10 pagi tadi sebelum pihak sekolah mengarahkan ibu bapa mengambil anak masing-masing untuk mendapatkan rawatan di klinik kesihatan berdekatan.

Menurut sumber, ketika ini, kira-kira 32 murid bermula darjah 1 hingga 6 dari SK Kopok dipercayai mengalami simptom terbabit termasuk dua guru yang didapati pengsan.

Pada masa yang sama, pelajar di beberapa sekolah yang terjejas sebelum ini iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Puteri Resort, SK Taman Pasir Putih dan SMK Taman Nusa Damai turut menerima nasib sama. 

Sehingga kini, masih belum ada sebarang arahan sesi penangguhan sekolah daripada pihak Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ).

Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan sesi persekolahan di 111 buah sekolah yang ditutup bermula 24 hingga 27 Jun lalu mula dibuka hari ini. – K! ONLINE

Loading...