2 Direman Seleweng Peruntukan Sukma Perak

IPOH – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman seorang penjawat awam dan seorang pengurus syarikat pengurusan acara kerana dipercayai menyeleweng peruntukan kerajaan negeri bernilai RM3.5 juta pada Sukan Malaysia (Sukma) Perak 2018.

Perintah tahanan reman selama enam dan lima hari masing-masing terhadap suspek berusia 44 dan 39 tahun itu bermula hari ini dikeluarkan oleh Majistret Nur Melati Diana Abdul Wahab di Mahkamah Majistret di sini.

Terdahulu, kedua-dua suspek hadir di pekarangan mahkamah kira-kira pukul 11.05 pagi dengan berpakaian lokap SPRM.

Mereka ditahan kira-kira pukul 4.30 petang di pejabat SPRM Perak semalam bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 17 (a) dan Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Menurut sumber, penjawat awam tersebut juga dikatakan menerima rasuah berjumlah melebihi RM165,000 daripada pembekal-pembekal yang dipilih untuk pembekalan dan sewaan bagi acara Sukma 2018.

“Empat orang pengurus syarikat berumur antara 40 hingga 77 tahun yang turut terlibat dalam kes penyelewengan wang peruntukan Sukma 2018 juga telah ditangkap pada hari sama antara pukul 3 hingga 5 petang.

“Namun, mereka telah dilepaskan dengan jaminan setelah rakaman percakapan mereka diambil,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Perak, Datuk Mohd Fauzi Mohamad ketika dihubungi mengesahkan kes tersebut.

Loading...