2 Anggota Polis Antara 345 Ditahan Positif Dadah

KUALA LUMPUR – Dua anggota polis adalah antara 345 individu yang ditahan dalam Op Club Rat 2.0 di seluruh negara, dipercayai mengambil dadah, awal pagi tadi.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Mohd Khalil Kader Mohd berkata, kedua-dua mereka ditahan di sebuah pusat hiburan di ibu negara didapati positif dadah selepas menjalani ujian saringan air kencing.

Beliau berkata, pihaknya melancarkan operasi serentak yang melibatkan pemeriksaan ke atas 56 pusat hiburan pada tengah malam tadi dan menyasarkan pengunjung-pengunjung pusat hiburan yang disyaki mengambil dadah.

“Seramai 1,753 pengunjung berumur 15 hingga 60 tahun diperiksa. Seramai 345, termasuk 31 warga asing, ditahan kerana positif dadah jenis methamphetamine (144 orang), ketamin (77), amphetamin (120), morfin (3) dan benzo seorang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagi kesalahan mengedar dan memiliki pelbagai jenis dadah, seramai 78 individu ditahan.

“Jumlah keseluruhan pelbagai jenis dadah yang dirampas dalam pemeriksaan adalah seberat 656.9 gram dan dianggarkan bernilai RM66,836.50,” kata Mohd Khalil.

Kesemua tangkapan disiasat mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala bagi kesalahan mengedar dan memiliki dadah disiasat di bawah Seksyen 39B, Seksyen 39A(1) serta Seksyen 12 (2) akta sama.

Loading...