1MDB: Status Sri Ram Sebagai Pendakwa Dipersoal

KUALA LUMPUR – Peguam bela Datuk Seri Najib Tun Razak sekali lagi mempersoalkan pelantikan bekas hakim, Gopal Sri Ram untuk mengetuai pasukan pendakwaan, ketika perbicaraan bekas perdana menteri berhubung pengubahan wang haram dan penyalahgunaan kuasa yang dikaitkan dengan 1MDB bermula hari ini.

Muhammad Shafee Abdullah berkata mahkamah rayuan membenarkan pasukan pembelaan mempersoal pelantikan Sri Ram sebagai timbalan pendakwa raya di bawah Seksyen 376 Kanun Prosedur Jenayah.

“Saya tidak minta penangguhan tetapi saya mahu membuat kenyataan di mahkamah,” katanya kepada Mahkamah Tinggi hari ini.

Pada Isnin, Mahkamah Rayuan membenarkan semakan kehakiman untuk Najib mempersoal pelantikan Sri Ram sebagai pendakwa raya fiat. Kes ini ditetapkan untuk sebutan di Mahkamah Tinggi pada 3 Oktober.

Sebagai tindak balas, Sri Ram berkata ia masih terlalu awal untuk membincangkan perkara itu dan pihak pendakwaan akan meneruskan dengan kes mereka.

Beliau kemudian membaca kenyataan pembukaan pendakwaan bagi perbicaraan 1MDB.

Sri Ram mengetuai pendakwaan dalam beberapa kes rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan Najib serta isterinya, Rosmah Mansor, anak mereka, Riza Aziz dan pembantu khas Rizal Mansor.

Najib berdepan 25 tuduhan pengubahan wang haram dan penyalahgunaan kuasa berkaitan dana 1MDB bernilai RM2.28 bilion yang dimasukkan dalam akaun AmBanknya antara Februari 2011 dan Disember 2014.

Semalam, pihak pendakwaan menutup kes Najib dalam perbicaraan pertamanya melibatkan 3 tuduhan pecah amanah jenayah, 1 tuduhan menyalahguna kedudukan dan 3 tuduhan pengubahan wang haram berhubung dana SRC International Sdn. Bhd. berjumlah RM42 juta. – FMT