1MDB: Saksi Tak Salahkan Najib Jika Tertipu Dengan Jho Low

KUALA LUMPUR – Timbul persoalan bagaimana saksi ke-9 yang juga merupakan bekas Ketua Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB) begitu mempercayai tindak tanduk ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low sehingga setiap taktik penyewelengan tidak dapat dihidu.

Malah peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah ketika pemeriksaan balas sebentar tadi turut melontarkan persoalan seandainya saksi, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi sendiri boleh begitu mempercayai Jho Low, mengapa tidak Datuk Seri Najib Tun Razak juga menjadi ‘mangsa’ lelaki itu.

Shafee: Berapa lama kepercayaan kamu dengan Jho Low berterusan?

Shahrol: Sehingga 2015.

Shafee: Maknannya dari 2009 sehinggalah 2015 anda mempunyai kepercayaan tidak berbelah bahagi?

Shahrol: Ya, betul.

Shafee: Ini kerana pada masa yang sama, anda juga tidak nampak apa-apa yang mengarut dilakukan.

Shahrol: Ya, pada masa itu.

Shafee: Sekiranya anda sendiri memiliki kepercayaan tersirat dan berbelah bahagi, adakah kamu menyalahkan anak guam saya mempercayai Jho Low? Anda sendiri pun tertipu dengannya.

Shahrol kemudian terdiam sebentar sebelum menjawab beliau tidak akan menyalahkan bekas perdana menteri itu untuk mempercayai Jho Low.

Shafee kemudian turut melontarkan persoalan kepada Shahrol adalah tidak betul untuk menyatakan Najib merupakan pelaku dalam konspirasi penyelewengan berbilion ringgit ini.

Bagaimanapun Shahrol enggan menjawab bagi soalan tersebut sebaliknya mengatakan beliau tidak layak memberikan pandangan seumpama itu.

Terdahulu, Shahrol juga mendedahkan bagaimana dalam tempoh yang begitu singkat Jho Low telah mendapat kepercayaan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin pada tahun 2009.

Pandangan itu berdasarkan pemerhatian Shahrol di mana dakwa saksi itu tingkah laku Jho Low dalam istana memberikan gambaran mereka saling mengenali.

“Ini hanyalah pemerhatian paling singkat iaitu interaksi antara Jho dan baginda Yang di-Pertuan Agong di istana. Cara Jho Low di istana, saya simpulkan masing-masing sudah biasa saling mengenali malah Jho Low mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong pada masa itu.

“Jho Low juga mempunyai pengaruh untuk mendapatkan surat tawaran agar Shahrol menjadi Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) selepas ditemuramah pada Jumaat dalam bulan Mac 2009 dalam tempoh singkat sahaja,” dakwanya.

Perbicaraan bersambung pada ketika ini. – MalaysiaGazette

Loading...