1MDB: Polis Fail Tuduhan Jenayah 5 Individu

KUALA LUMPUR – Polis telah memfailkan pertuduhan jenayah terhadap lima individu termasuk ahli perniagaan Low Taek Jho atau dikenali sebagai Jho Low berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

“Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman telah menjalankan siasatan terhadap 1MDB atas pelbagai kesalahan jenayah melibatkan transaksi kewangan serta urus niaga yang dijalankan oleh syarikat 1MDB yang dikemukakan dan ditaklimatkan kepada Peguam Negara pada 3 Disember.

“Setelah meneliti keterangan kes, Peguam Negara membuat keputusan agar pihak polis memfailkan pertuduhan di bawah Kanun Keseksaan, Akta Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Jenayah Pembiayaan Keganasan 2001 (Akta 613) itu di Mahkamah Sesyen Jenayah, Jalan Duta di sini semalam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Lima individu yang terlibat pertuduhan 1MDB adalah ahli perniagaan Jho Low, Tan Kim Loong @ Eric, Pengarah Pembangunan Perniagaan 1MDB Tang Keng Chee @ Casey, Peguam Am 1MDB Loo Ai Swan @ Jasmine dan Pengarah Eksekutif Kewangan 1MDB Geh Choh Heng @ Terence.

Mohamad Fuzi berkata jumlah pertuduhan yang dihadapi kelima-lima individu adalah 13 pertuduhan yang melibatkan kerugian wang berjumlah US$1.17 bilion (RM4.2 bilion).

Jho Low menghadapi lima pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1) (a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 berhubung penerimaan wang berjumlah US$1.03 bilion ke dalam akaun Bank Good Star Limited di RBS Coutts Bank Ag, Zurich, Switzerland antara 30 Sept 2009 sehingga 25 Oktober 2011.

Beliau dan Tan juga dituduh bersama-sama dengan dua pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1) (a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 melibatkan kerugian US$126 juta yang diterima mereka berdua melalui akaun Bank RBS Coutts Bank Limited, Singapura milik Acme Time Limited yang transaksi ini berkaitan terbitan Islamic Medium Term Notes oleh Terengganu Investment Authority Berhad (TIA) pada Mei 2009.

Tang pula menghadapi satu pertuduhan di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan (pecah amanah jenayah oleh ejen) berhubung pemindahan wang US$700 juta ke akaun Good Star Limited milik Jho Low.

Beliau juga menghadapi dua lagi pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1) (a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 melibatkan kerugian US$6.7 juta yang diterima ke dalam akaun Syarikat Transnation Limited (Seychelles) di RBS Coutts Bank Ag dan Syarikat Totality Limited di BSI Bank Sa, Switzerland masing-masing pada 5 Ogos 2009 dan 23 Disember 2010.

Loo pula menghadapi dua pertuduhan di bawah Seksyen 4 (1) (a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 melibatkan kerugian US$6 juta yang diterima dalam akaun Falcon Private Bank Ag, Zurich, Switzerland milik Syarikat River Dee International Sa (BVI) pada 6 Dis 2012 dan 1 Julai 2014.

Geh pula berdepan satu pertuduhan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan (pecah amanah jenayah oleh ejen) berhubung pemindahan US$125 juta ke akaun Good Star Limited milik Jho Low pada 25 Oktober 2011.

Mohamad Fuzi berkata waran tangkap telah diperoleh daripada pihak mahkamah dan usaha sedang digiatkan untuk mengesan dan menahan kelima-lima mereka yang telah melarikan diri ke luar negara.

“Polis akan mendapatkan kerjasama daripada pihak berkuasa luar negara dan juga Interpol dalam membantu mengesan mereka.

“Jika mereka dikenal pasti berada di mana-mana negara lain, polis melalui Jabatan Peguam Negara akan mengambil tindakan untuk memohon ekstradisi bagi membolehkan mereka dibawa balik ke Malaysia untuk menghadapi pertuduhan di mahkamah,” katanya. – BERNAMA

Loading...