1MDB: Mahkamah Arah Pendakwaan Cepat Serah Penyataan Saksi

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini sekali lagi mengarahkan pihak pendakwaan agar mempercepatkan proses serahan penyataan saksi kes pindaan Laporan Audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB) melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy.

Perkara tersebut ditegaskan Hakim Mohamad Zaini Mazlan selepas Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Al Saifi Hashim memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihak pendakwaan belum melengkapkan serahan dokumen itu.

“Sebelum ini, saya telah minta pihak pendakwaan untuk menyerahkan dengan segera segala dokumen dan pernyataan saksi kerana tarikh perbicaraan semakin hampir. Saya tidak mahu apa-apa dokumen dan pernyataan saksi diserahkan di saat akhir,” jelas Mohamad Zaini ketika pengurusan kes tersebut.

Dalam prosiding tersebut kedua-dua tertuduh diwakili peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dan Datuk N. Sivananthan.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 16 Oktober dan 12 November ini untuk pengurusan kes berkenaan. Kes tersebut akan mula dibicarakan pada 18 hingga 29 November ini dan 13 hingga 17 Januari tahun depan.

Loading...